Halaman

Latar Blog

Asmaul Husna

Sabtu, November 23, 2013

Naskhah 32 - Buka akaun dan daftar haji untuk Amin

Assalamualaikum.....

Masa kecil-kecil dulu, ayah dengan ibu dah bukakan akaun tabung haji untuk semua adik-beradik yang 8 orang tu. Kalau tidak silap, ayah dengan ibu peruntukkan RM10 setiap bulan untuk setiap anak, mungkin kecil tetapi besarnya jasa diaorang di mata saya. Oleh kerana itu, kami juga ada tabung masing-masing yang berbentuk bangunan HQ tabung haji macam gambar kat bawah ni. Masuk jarang, tetapi keluar selalu.hihihi. Jadi selalulah duit raya atau duit hadiah yang kami dapat, ibu akan catatkan jumlah masing-masing, kemudian depositkan dalam akaun tabung haji masing-masing. Kalau belum umur 18 tahun, akaun nama penjaga, mak ayah kitalah maksudnya. Dah capai 18 tahun, barulah kita boleh tukar nama sendiri dan uruskan sendiri. Kira dah besarlah.


Tahun 1999, masa humaira yang bongsu umur 4 bulan lebih kurang, ayah ibu terpilih tunaikan haji, masa tu kak long, dan 2 lagi abang tinggal di asrama. Kami 5 orang yang belum bersekolah asrama, tinggal di rumah dijaga oleh mak long dan pak long. Saya sendiri ketika itu, baru di tahun tiga. Sedih juga bila dikenangkan kerana kami meraikan aidiladha tanpa ibu dan ayah buat pertama kali! Tapi alhamdulillah ramai yang membantu kami ketika itu. Semenjak itu, idea pergi haji waktu muda dan tengah sihat selalu ibu ulang-ulangkan pada kami.

Jadi bila Amin lahir, saya juga teruja nak buat macam ibu dan ayah. Semua duit yang Amin dapat sejak lahir, kami akan depositkan ke dalam akaun tabung haji Amin yang kami buka sekitar 4 bulan umur dia. Mudah sahaja, kita cuma perlu membawa MyKid atau sijil kelahiran dan MyKad salah seorang ibu bapa untuk membuka akaun. Sekarang lagi, Tabung Haji membenarkan akaun dibuka dengan jumlah dposit serendah RM2. Malah yang lebih memudahkan, sekarang pendaftaran akaun dan haji boleh dilakukan di Bank Islam dan Bank Rakyat.  Kemudian kalau dah ada akaun kita juga boleh depositkan duit melalui Cash Deposit di bank-bank ini tanpa perlu menunggu lama di Tabung Haji (untuk pengetahuan, semua urusan di Tabung Haji adalah secara urusan di kaunter dan tiada urusan yng boleh dilakukan secara elektronik seperti di bank-bank lain). Saya juga ada dengar, kini, Maybank juga ada menawarkan perkhidmatan urusan berkaitan tabung haji.

Alhamdulillah, jumlah minima untuk daftar haji dalam akaun Amin tercapai masa 10 bulan, tapi saya cuma sempat daftarkan haji dalam bulan 1, 2013, lebih kurang 2 hari Amin nak cukup setahun. Jumlah minima untuk pendaftaran ialah RM1 300. Pendaftaran boleh dilakukan di Tabung Haji, Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank sama seperti untuk pembukaan akaun. Selain itu, pendaftaran juga boleh dibuat secara atas talian atau online di laman web Tabung Haji atau laman web Kerajaan Malaysia. Mudah betul kan?

Amin dapat tahun peruntukan pada 2057 atau 1478 hijrah, lebih kurang umur dia 45 tahun. Walaubagaimanapun, jika berdasarkan kekosongan dan beberapa faktor yang lain, TH boleh mempercepatkan giliran atau menangguhkan giliran kita.



Nota penting ni tercatat di bahagian bawah kertas yang kita dapat bila daftar haji. Saya qoute kan balik;

"Memperoleh kuota adalah termasuk dalam bab istito'ah (kemampuan) yang merupakan salah satu syarat wajib haji"

Ha, jangan main-main. Jadi, kalau anda hendak penuhkan syarat wajib haji anda, selain mampu dari segi kewangan, anda juga perlu mendaftar haji di TH. Walaubagaimanpun jika anda mampu menunaikan haji melalui pakej syarikat swasta dan berniat untuk menunaikannya melalui pakej mereka, perkara di atas adalah tidak diwajibkan.

Moga-moga Allah beri kami kesempatan dan kesihatan untuk menunaikan haji yang mabrur di Baitullah.amin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan