Halaman

Latar Blog

Asmaul Husna

Khamis, Disember 30, 2010

Naskhah 18-Dia nak ajar saya.

Assalamualaikum.....

(i)

nilah namanya buat kerja x senonoh.
tulis bila rajin je.
tp, kata orang putih, " less better than nothing "
hihihi
:-)

(ii)

dah kejap tetap dalam hati saya, bila-bila saya dalam kesusahan, baca selawat dan ia selesai. mudah je pendirian saya. kadang-kadang ia jadi 'sesat'. iyalah, kalau dah percaya baca selawat, semua 'happening' je. x payah usaha, x payah buat apa2. Sepatutnya tak begitu. minggu lepas, betul-betul Dia nak tunjukkan apa yang betul tentang kepercayaan ni. Dia nak saya faham betul-betul. saya masuk kelas dr.baha, dan saya jawab soalan macam saya lecturer; maksudnya yakin sangat jawapan tu semua betul. tapi, dr baha kata apa?
" ni yang terbaik dari awak? "
" tengok suwaibah, banyak lagi yang awak tertinggal "
" awak dah buat kesilapan yang sama mcm minggu lepas "
saya salah untuk kes Lim Chin Aik, kurang di sana dan di sini. 'depress' betul rasanya. padahal, sy dah baca selawat sepanjang jalan nak gi kelas.

(iii)

tapi, Allah, cara Dia memang berseni. Dia bagi saya biasa dulu baca selawat, automatik je, bila saya rasa kelam2 mulut saya nak baca selawat. Alhamdulillah kejadian ni tak mengurangkan rasa saya untuk terus berselawat. ia tetap memberi ketenangan, bila jiwa rasa kacau, rasa seperti didengari bila rasa takut. cuma saya kena tukar pegangan; saya boleh dapat apa saja asalkan, baca selawat + usaha sungguh-sungguh.

(iv)

(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah
sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Anfal:53)

*selalu dalam minda;rasa rindu pd Dia dan dia:-)

Rabu, September 29, 2010

Naskhah 17 - Fikir lagi

Assalamualaikum.....

(i)Prolog

Saya tahu dah lama saya tinggalkan blog ni tak terjenguk. Kadang-kadang saya
jenguk, baca dan tutup. Macam r&r saja saya buat. Saya pinjam istilah penulis
blog yang selalu saya ziarah, boleh juga dikatakan saya sedang melakukan gencatan
berblog, tugas saya macam banyak dan banyak pula kononnya program yang saya perlu
hadiri. Oleh itu saya minta maaf kepada pengunjung (sekiranya ada laaah!)

(ii)

Oleh itu, saya mengambil kesempatan syawal yang belum habis, untuk mengucapkan
selamat hari raya kepada semua pengunjung sengaja atau tak sengaja. Moga kita
ketemu lagi ramadhan dan syawal akan datang dalam keberkatan dan diredhai.

(iii)

"Rama-rama bagiku cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup. Ia terbang
mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang
memandang.

Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.

Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi.

Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor
rama-rama yang cantik.

Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh
fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik.

Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama.
Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari
kepompongnya.

Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri.

Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk
keluar dari kepompong yang kecil itu.

Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah
meraikan kebebasannya.

Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain.

Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan
menggunting kepompong tersebut.

Rama-rama ini berhasil 'di'keluarkan dengan mudahnya.

Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini?

Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat
seumur hidup.

Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti
layaknya. Bukankah ini lebih malang?

Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong
itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.

Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini.
Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum
faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih"

http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/871-air-mata-tidak-selamanya
abadi.html

Mudah sungguh orang kita hari ini ambil keputusan untuk berhenti hidup(eh,
betulkan istilah saya ini?). Seolahnya, hidup ini susah sahaja, banyak yang rumit
dari yang senang. Semua masalah tak terselesaikan, tak ada orang yang peduli akan
kita, akan hal masalah kita, dan hidup ini serba menekan dan satu
perjudian. Padahal untuk menjayakan agenda bunuh diri amat menyakitkan,
payah untuk dijayakan, dan balasan di akhirat tak terkatakan dahsyatnya!
Sebahagian 'orang' menganggap ianya sebagai satu hak peribadi kerana terencana
dari keputusan yang dibuat oleh diri sendiri. Tetapi hakikat bahawa, melakukan
sesuatu yang bertentangan dari fitrah manusia yang selalu inginkan kebaikan
adalah hasil dari kecelaruan mental yang samada tidak atau tersalah pandu harus
dikira.Membaca tentang kes bunuh amat mengerikan, tetapi membaca tentang kes
bunuh diri, ianya amat melukakan.

Hakikat bahawa jumlah kes ini meningkat adalah satu yang membimbangkan, dan
hakikat bahawa ia tak berkurang lebih membingungkan. Menurut statistik rasmi,
lebih sejuta orang membunuh diri pada setiap tahun! Saya tak mahu senaraikan
faktor-faktor kenapa ada antara kita yang ambil keputusan untuk buat kerja KEJI
ini. Tapi, ada beberapa perkara yang perlu kita perhatikan untuk elak dari
terfikirkan untuk melakukannya atas apa pun alasan (Nauzubillahi min dzalik).

Kebanyakannya tersilap fikir bahawa bunuh diri adalah penyelesaian terbaik.
Padahal ia bukan sahaja bukan jalan penyelesaian terbaik, malah adalah satu
kesilapan untuk menganggap ia sebagai salah satu dari sekian banyak cara
menyelesaikan masalah. Macamlah hidup akan aman kalau bunuh diri. Seolah-olah
orang akan merasai sama penderitaan kita. Malangnya si pelaku akan merasakan
azabnya bunuh diri seorang diri, kalau dia melakukan sebagai tanda bantahan
terhadap orang lain. Mungkin orang yang dibantah akan terasa sedikit, kemudian
kembali meneruskan hidupnya dengan aman. Begitu juga, kalau pelaku merasa akan
aman bahagia selepas bunuh diri, sekali lagi silap. Seksaan yang menanti tak
terperikan! Akhirnya rugi saja yang diperolehi, azab saja yang dirasai, dan
derita saja yang didapati. Dan ingat, ianya ditanggung sendiri!

Rasulullah saw. bersabda dalam sebuah hadis: “ Barangsiapa yang mencekik
lehernya, ia akan mencekik lehernya sendiri di neraka. Dan barang siapa yang
menusuk dirinya, ia akan menusuk dirinya sendiri di neraka. ”
[ HR Bukhari dan Muslim ]


Banyak yang harus difikirkan balik. Bahawa hidup ini sangat indah untuk
ditinggalkan begitu cepat, bahawa banyak lagi yang harus dicari untuk bekal
di sana, dan setiap ujian ada hikmahnya. Biasa kita dengar, dah
lali dan macam dah basi. Tapi, sungguh, ia bukan cakap kosong macam yang kita
cakapkan ketika mengigau di waktu tidur! Hidup ini jambatan akhirat, tempat
menambah pahala dan amalan. Anda bayangkan, kita ada periksa akhirlah contohnya,
ada lebih kurang 2-3 bulan lagi. Belum habis ulangkaji, formula banyak yang belum
ditengok, latihan banyak yang belum diulang, banyak istilah yang belum hadam dalam
fikiran. Pendek kata belum sedia, titik. Tapi, kita macam relaks je nak periksa
HARI INI! Tak nak dah tangguh, tak rela, dah tak sabar. Akibatnya, senang-senang
je pensyarah bagi kita telur ayam. Tak lulus, tak naik level, malu, terseksa.
Baru nak rasa menyesal. Begitulah analoginya, Allah telah menentukan waktunya
kita akan menghadapNya. Dia beri masa untuk perbaiki lagi mana yang belum elok,
tambah mana yang masih kurang, cari sebanyak-banyak bekal, supaya bila masa
ditimbang-tara semua amalan ketika di dunia, segalanya berjalan lancar, sempurna.
Boleh masuk syurga. Tempat berkumpul segala kenikmatan. Di situlah puncak
kebahagiaan, tak ada derita dan rasa resah.

[56*:12]
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat

[56*:15]
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang
bertatahkan permata;

[56*:16]
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.

[56*:17]
Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan
mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka;

[56*:18]
Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang
berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

[56*:19]
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab
menikmatinya.

[56*:20]
Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka
pilih,

[56*:21]
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

[56*:22]
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,

[56*:23]
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

[56*:24]
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah
kerjakan.
*surah al-Waqi'ah

Saya tuliskan ini semua ini, taklah mengharap sangat orang yang akan bunuh diri,
tiba-tiba rasa nak 'online' dan tiba-tiba terbaca entri saya kali ni. Tapi, ia
lebih kepada sesiapa yang membacanya, menyedari apa yang hendak disampaikan
kemudian menyampaikan pada orang lain. Dengan harapan semua orang akan berusaha,
dengan apa cara sekalipun menyumbang ke arah sifar bunuh diri. Bahawa semua orang
akan berusaha untuk tidak sewenang-wenangnya memikirkan bunuh diri adalah satu
penyelesaian. Allah selalu ada, kalau tak ada orang mahu mendengarkan kita. Allah
selalu sudi membantu, kalau kita dalam kesusahan. Dialah yang meleraikan, saat
kita dalam kekusutan. Tinggal saja kita yang harus memahami, di mana Dia di hati
kita.

[4*:29]
“ Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang
kepadamu. ”
*surah an-Nisa'

Selasa, Ogos 31, 2010

Naskhah 16 - Selamat Merdeka Wahai Pemikiran

Assalamualaikum.......




Merdekakan pemikiranku wahai Tuhan,
seperti anak-anak yang tiada wahn,




tetapkan sikapku supaya aku tahan,
tegapkan hatiku pada setiap kerahan,




supaya aku selalu punya dahan,
untuk terus bersamamu wahai Tuhan.



SELAMAT MERDEKA WAHAI PEMIKIRAN!




-Nota kaki:Selamat menyambut ulang tahun kelahiran untuk adinda Siti Fatimah Azzahra
bt A Aziz.
Moga selalu dalam rahmat Allah
Moga jadi hambaNya yang selalu merdeka dalam bimbinganNya.

Rabu, Ogos 18, 2010

Naskhah 15 - Ramadhan ini untuk kita

Assalamualaikum....

Terbang-terbang tekukur merah,
terbang rendah di pohon pinang,
sabar-sabar hati yang marah,
kelak harimu menjadi senang.



Burung undan memakan ikan,
membuat sarang di pepohonan,
marah itu tamsilan syaitan,
sedang sabar natijah iman.



Apa diharap padi di seberang,
padi di laman tak dijenguk tuan,
apa diharap kasihnya orang,
belum mencapai gapaian Tuhan.




Pergi memetik si daun kari,
masak berbuka untuk tetamu,
tunai tahajud di malam hari,
kasihNya Tuhan untuk dirimu.



Mudik ke hulu pergi ke Rawa,
dari rawa belayar ke Medan,
sedekah itu menyemai taqwa,
itulah buah dari ramadhan.

Khamis, Julai 22, 2010

Naskhah 14 - Kita?

Assalamualaikum......

Sepanjang hidup kita, saya percaya banyak sudah yang kita lalui. Tapi, sering semua itu berlalu tanpa kita sendiri menyedari hikmah Tuhan di dalamnya.

Saya terfikirkan soal cinta (kenapa pulak ni???). Entah kenapa, tapi soal itulah yang asyik berulang sekitar kehidupan saya akhir-akhir ni, macam sejuk yang selalu kita rasa bila tiba musim hujan. Ia tak selau, tapi begitulah keadaannya.

Hidup Kita Hari Ini

10 tahun 20 tahun lalu, hidup kita tak seperti hari ini. Di kampung-kampung sebahagian besar, akses kepada dunia yang lebih canggih tanpa batasan belum boleh didapati. Rata-rata sosioekonomi penduduk tak membolehkan kita untuk menikmati 'kelebihan' ini. Penduduk bandar pula, walaupun sedikit mewah, tapi bentuk hiburannya tak 'sehebat' hari ini. Begitu juga dengan sikap dan pembawaan watak masing-masing. Masalah sosial ketika itu tak sebanyak dan serumit hari ini.

Hari ini, sikap bagai enau dalam belukar sudah jadi sikap dominan masyarakat di bandar atau kampung. Semuanya, perlahan-lahan mula dapat menerima, inilah yang seharusnya menjadi sikap kita. Tidak ada lagi, orang yang menegur anak orang lain yang tersilap langkah, dan tak ada lagi sesiapa yang sanggup membimbing anak orang lain jadi baik macam anak sendiri. Dan tak ada lagi, orang yang berlapang-dada menerima teguran atau tentangan orang lain. Nilai cinta-mencitai dalam diri masing-masing hampir sudah kontang.

Kita cepat tersasul perkataan kasar lagi mencela dengan orang yang tak sebulu dengan pendapat kita. Kadang-kadang kita suka mendoakan yang buruk-buruk untuk dia, sebab kita selalu rasa kita sahaja yang betul. Kita rasa hak kita sahaja yang telah dirosakkan. Kita lupakan hikmah dalam berdakwah. Nabi Ibrahim a.s, bila ayahnya menolak dakwahnya,Allah rakamkan dalam ayat ni, bagaimana reaksi baginda:

Nabi Ibrahim berkata: Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon
kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan
kemurahan ihsanNya kepadaku. (Maryam:47)

Padahal, tiada ruginya kita berlemah-lembut, menjadi pemaaf. Sedang Allah luas sifat Maha Pengampun Nya. Dia tidak akan sia-siakan kebaikan yang kita buat.

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam
surat amalnya)[7]
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam
surat amalnay)[8]
{surah al-zalzalah}


Moga Allah selalu membimbing kita, sepanjang hidup.amin

Khamis, Julai 15, 2010

Naskhah 13 - Mereka Muslim

Assalamualaikum.......


Saya tahu mereka muslim;

Si perempuan bergaya,
rambutnya bersinar merah; bangga,
semilir asap rokok dari bibirnya,
berebut menampar pipi,
si ibu menarik hujung tudung; tersenyum.

Cucu si ibu,
ketawanya memecah,
dia tepuk 'sayang' kepala pak ciknya,
dan tepuk dari perempuan itu;
"tanda sokong mama padamu nak."
si ibu merapi lipatan tudungnya; tersenyum.

Yang lelaki gagah,
ada rantai melingkar di leher;
"ini tanda aku berani."
jarinya menari atas telefon; tak henti,
si ibu menahan metah angin mencium tudungnya; tersenyum.

Saya percaya wahai Tuhan;
"setiap mu'min itu bersaudara"

Saya ingat pesanmu,
ayuhai junjungan;
"tidak beriman seseorang
sehingga dia mengasihi saudaranya
seperti dia mengasihi dirinya sendiri"

Lalu,
di mana kekuatan itu
aduhai teman?


"Ya Allah ku serahkan diriku kepadaMu,
kuhadapkan wajahku kepadamu,
kupercayakan urusanku kepadamu,
kerana cinta dan takut kepadamu."

Rabu, Jun 02, 2010

Naskah 12 - Batas itu untuk dilanggar?



Assalamualaikum......
Biasa dak anda dengar,peraturan dicipta untuk dilanggar? Kadang-kadang,saya terdengar kawan-kawan ucap frasa bermakna ini bila mereka tertoleh curi ketika menjawab kertas periksa, atau bila ada yang terlanggar peraturan memandu, atau bila-bila sahaja ada yang terasa dah terlanggar apa-apa yang dianggap satu peraturan. Beberapa waktu lalu, saya jengah laman maya milik ustaz zaharuddin (www.zaharuddin.net; baca Dosa-Dosa & Facebook). Hal-hal yang disebutkan ustaz, walaupun telah disebutkan dah lama, tetapi kira tak menjadi permasalahan untuk saya sebutkan lagi. Kadang-kadang, semacam satu rutin, kita akan melihat jika ada yang terbaru di facebook setiap hari. Oleh kerana perkara ini sudah tetap di dalam jadual kebanyakan kita, ia mula melarat kepada laman untuk melepak secara maya. Saya sebutkan melepak ye, bukan berkumpul. Kebanyakan dari kita, akhirnya hanya akan sekadar bertanya soalan tipikal, seperti:
1) ri ni mkn per?
2) kelas (....) ngko hr ni, per citer?
3) fesyen rambut yg trbru
4) dan seumpamanya
Apa yg lebih malang, perkara sia-sia ni selalu kita terkongsi dengan jantina berlawanan dengan kita. Malah ada yang bergurau 'kasar', 'lucu yang lucah' (minta maaf kepada pembaca) kerana sudah terlalu akrab (kononnya).

Dan Kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam
syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua
sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka
jadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim
(al-Baqarah:37)
Sifat terlupa, suka melebihi apa yang dibatasi selalu menjadi semacam mitos wajib untuk dikaitkan dengan bangsa 'homo sapiens' ini. Apakah Nabi Adam dan isterinya Hawa, diturunkan ke bumi kerana menghampiri pohon itu? Sedang perkara sebenar yang menjadi larangan ialah dengan memakan buah dari pohon yang dilarang untuk didekati. Tetapi kerana tipu daya syaitan, Baginda alaihissalam menghampiri lalu termakan buahnya yang menjadi larangan sebenar. Begitu juga, ketika Tuhan mengingatkan begini

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu
perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
(al-Isra':32)
Saya bimbangkan jika kita terlalu banyak berfoya-foya,ia akan membawa kita pada satu keadaan yang tidak elok di sisi Islam. Islam banyak mengajarkan batas-batasan dalam pergaulan kita dengan jantina yang berlawanan dengan kita. Batas-batasan ini jangan pula difikirkan sebagai satu penghalang,kongkongan,tembok atau apa sahaja yang boleh memaknakan perkara yang sama ;terhadap manifesto kebebasan yang selalu kita juangkan, paling tidak di dalam setiap diri. Ia perlu di lihat sebagai penghalang terhadap kejahatan atau keburukan yang boleh mendekat. Seumpama, kita dilarang untuk menghampiri sungai yang dipenuhi dengan buaya ganas lagi buas. Sedang buaya itu diamnya di dalam sungai, bukan di tebingnya. Tapi, larangan itu digesa, kerana boleh sahaja buaya itu naik ke tebing dengan pantas ketika kita terjenguk-jenguk di tebingnya secara tiba-tiba. Maka seenaknya saja, kita akan menjadi makanan percuma. Begitu setiap batasan dibuat untuk menjauhkan kita dari semua kejahatan. Begitupun, batasan ini tidak pula perlu dilihat sebagai pemutus. Semacam analogi tebing sungai tadi, tidak boleh menghampirinya, tidak bermakna tidak boleh menikmati keindahannya, atau tidak boleh memanfaatkan apa-apa darinya. Bila bersama kawan yang berlainan jantina, batasan ini tidak seharusnya menjadikan kita seperti 'traumatis' dengan mereka. Kerana Islam itu wasothiyyah (sederhana), bukan ghulluw (berlebihan/ekstrem), maka tidak akan timbul liberal dalam perhubungan dan tidak juga sifat anti terhadap mereka. Islam menggariskan mengikut yang ditengahnya, boleh berhubungan, tetapi harus dengan niat yang betul, jalan yang betul, dan praktikalnya juga betul.
Moga Allah selalu memandu kita.amin

Selasa, Mei 25, 2010

Naskah 11 - Moga kerana Dia

Assalamualaikum......

Saya harungi hidup hampir 20 tahun, dengan bermacam ujian dan kesenangan. Ketika saya mula merasa sedikit dewasa, saya pelajari supaya punyai cita-cita dalam hidup. Supaya menjadi panduan saya melangkah. Kerana cita-cita yang macam-macam itulah saya menjadi sekarang. Saya angan-angan kan untuk menjadi salah seorang yang mengembalikan kegemilangan Islam. Saya tahu (betul ke?) susahnya jalan yang harus saya tempuhi. Macam dalam lirik lagu sunnah orang berjuang dan untuk tuhan,agaknya begitulah kesusahan yang saya perlu tempuhi. Sejak punyai cita-cita itu, saya belajar melalui jalan-jalan yang saya rasakan akan membawa saya kepada cita-cita ini. Kadang-kadang saya lelah bila sesekali syaitan berjaya lorongkan saya menjadi tidak ikhlas. Saya kecewa dengan diri saya yang sesekali merasa tidak kuat dan berputus asa. Dan ujian itu, kadang kala terlalu banyak dan rencam. SAya mohonkan pada Tuhan agar selalu memberi saya kekuatan. Tapi, saya pernah tahu,bahawa Tuhan tidak akan beri semua yang kita minta. Kerana Dia yang lebih tahu apa yang baik untuk kita. Bila ibu menyuruh saya melakukan sesuatu baru-baru ini, saya tidak tahu apakah betul keputusan ini. Cuma saya tahu ini akan menjadi kegembiraan ibu. Dan kerana saya percaya taatkan perintah ibu bapa juga boleh menjadi syiar mengukuhkan Islam, saya iakan kata ibu. Moga semuanya yang saya telah dan akan lakukan kerana Dia.Lantaran saya percaya Dia YaNg Maha Mengasihani tak akan mensia-siakan hambaNya yang berbuat baik terhadap ibunya.

Selasa, Mei 11, 2010

Naskhah 10 - Siapa guru kita?

Assalamualaikum.......
Malam khamis lepas, saya dalam perjalanan ke johor menaiki bas. Memandangkan, kelas saya berakhir pagi itu dan hanya akan bermula semula pagi tadi, saya putuskan untuk pulang ke kampung. Sebaik sahaja saya mendapatkan tempat duduk saya, satu filem indonesia sedang ditayangkan. Biasanya, ia sering menjadi kesukaan saya untuk menonton. Tapi, tidak untuk kali ini. Sejak dari mula hingga akhir filem itu (hampir), kami hanya dihidangkan dengan pelbagai variasi aksi ganas. Dari kepala terpenggal, sabit di perut dan entah macam-macam lagi 'scene' yang memualkan. Saya, tidak sahaja bimbangkan diri, malahan kanak-kanak dan warga emas yang ada bersama. Tidak habis di situ, pemandu mula memainkan lagu berfrekuensi tinggi (dengan lirik yang entah apa-apa), kemudian kembali memainkan filem yang tidak kurang ganasnya. Kali ini filem inggeris, tapi dengan mesej keadilan (kononnya).
Saya bimbangkan kanak-kanak kita (dan masyarakat dewasa juga). Dengan sekian banyak ikutan (guru) yang melambakkan idea ajaran songsang 'corrupted knowledge' pada masyarakat, saya tertanya-tanya bagaimana bentuk generasi masa hadapan. Tidak kira cerita, lagu, atau pelbagai lagi yang saya tidak ketahui namanya. Kita tidak habis-habis didedahkan dengan pelbagai bentuk keganasan, dari cara hendak membunuh diri, membalas dendam, atau untuk suka-suka menunjukkan kuasa. Bagaimana pula dengan kemunculan hero-hero dalam filem yang berkelakuan jahat dengan niat yang 'mulia'? Saya terbayangkan generasi masa hadapan akan hampir tiada nilai (atau mungkin tiada sepenuhnya). Jauh di dalam hati, saya lebih takutkan anak-anak yang hampir lumpuh sistem pertahanan mereka untuk menepis semua pengaruh jahat ini. Apa yang disarankan Tuhan untuk diikuti, menyelusuri alam, mengutip iktibar telah tersimpang matlamatnya. Perjalanan yang sepatutnya boleh menjadi medium untuk lebih mengenal Tuhan, hampir telah menjauhkan kita dari-Nya.
Saya pohonkan,moga Allah sudi meneguhkan hati kita dalam memelihara iman.amin

Rabu, Mac 24, 2010

Naskhah 9 - Rencam


Assalamualaikum untuk diri-diri yang bersabar dengan setiap ujian.......

Saya lalui hari ini dengan perasaan yang ling-lung sahaja.Kertas ujian saya tatap dengan separuh hati.Tapi,begitulah hari peperiksaan,begitu banyak perasaan bersimpang-siur.Suka pun ada bila mata meladeni soalan,"oh,nasib baik dah baca!"kata hati saya sambil tersenyum-senyum sumbing.Itu 1 hal,tapi sudah tentu ada juga sebaliknya.Mengingatkan musim peperiksaan akhir di sini,saya teringat artikel yang ditulis oleh Dato' Sanusi Junid(kalau saya tak silap) pasal 5 prinsip yang elok-elok juga kalau saya tuliskan di sini.Dari semangat Bushido di Jepun,Hwarang di Korea,Jin Qiang di China dan Muru'ah bagi bangsa Arab,semuanya menyemai amanah,berani,disiplin,rajin dan setia.Saya fikir,tiap-tiap langkah dalam kehidupan kita sifat-sifat ini penting untuk diadaptasikan supaya boleh membawa kepada pengakhiran yang baik-baik juga.Seperti hukum karma yang biasa-biasa itu pun,masih menirukan hikmah dalam ajaran Islam;perbuatan baik akan dibalas baik,dan begitu juga sebaliknya.Saya fikirkan tentang diri saya sebagai pelajar,sudah tentu saya perlu untuk amanah dalam mengulit hari-hari saya di sini,berani kerana benar(wah,macam biasa dengar ye?) di samping berani meneroka lebih jauh dari apa yang terilustrasi dalam buku-buku pelajaran saya.Dan mungkinkah kehidupan saya akan menjadi sesempurna mata yang melihat dan diri yang melalui,jika saya tak punyai disiplin?[kawan-kawan saya tentu ingin menjawab bagi pihak saya(^_^)].Saya harus rajin meladeni setiap hari-hari yang saya lalui,tentunya dengan sabar dan syukur.Kesetiaan pada apa?belum saya rumuskan.hehehe
Kerana pentingnya prinsip-prinsip ini dalam hari-hari ujian di sini,saya tuliskan moga ia boleh difahami kegunaannya di waktu-waktu kritikal.Apatah lagi dalam sepanjang kehidupan kita di sini(dan di sana!)
Semoga jalan yang kita pilih selalu dimudahkan oleh Allah....

Isnin, Mac 08, 2010

Naskhah 8 - Artikel 11 (1)

Assalamualaikum untuk diri-diri yang selalu ingin belajar..........


Banyak sekali yang saya pelajari dalam pada saya mengejar hari-hari yang berlalu semakin pantas.Mengulit ilmu di sini,saya dikurniakan pensyarah yang baik-baik.Salah seorangnya,Dr Hisham yang mengajar saya "Islamic Legal System".Banyak sekali kata-katanya yang membangkitkan semangat saya.Semangatnya untuk mendokong aspirasi universiti mengIslamisasikan pengetahuan cukup saya kagumi.Hari ini,Dr Hisyam ceritakan tafsiran Prof Ahmad Ibrahim, pengasas fakulti saya,tentang 'kebebasan beragama' yang diperuntukkan dalam perlembagaan.Kata Dr,Prof,sarjana yang patut dikagumi,mengejar langkahnya dalam pengaplikasian undang-undang syari'ah di Malaysia,cukup mengajar saya,si budak mentah ini.Kata Prof,kebebasan itu diperuntukkan untuk seseorang itu bebas mengamalkan sebarang perbuatan yang di benarkan di dalam agama.Terang Dr Hisham lagi,Prof Ahmad Ibrahim berpendapat,seseorang yang murtad;meninggalkan agama Islam tidaklah dikira sebagai satu interpretasi terhadap kebebasan beragama yang diperuntukkan.Kerana kebebasan itu diberikan untuk seseorang mengamalkan apa yang disuruh oleh agamanya,bukan mengamalkan apa yang dilarang agamanya.Begitu juga,bagi golongan 'Free Thinker' atau 'Atheis'.Perbuatan mereka tidak boleh dikira kebebasan beragama kerana mereka tidak beragama!
Moga Allah selau rahmati guru-guru saya,dahulu hingga kini.amin

Jumaat, Mac 05, 2010

Naskhah 7 - 'Reciprocal'

Assalamualaikum......
Rasa-rasa,bila di hitung-hitung,tentulah saya akan perasan telah lama saya tinggalkan blog ini tak bertulis.Entah kerana apa,saya tak dapat nak rangkumkan kesemuanya.Banyak isu yang tak dapat saya tuliskan,kerana udah basi.hehehe
Meskipun begitu,tentulah hidup saya masih lagi berlalu dengan macam-macam rahmat dari Dia yang Maha Baik!alhamdulillah.....
Alhamdulillah,Allah masih sudi memberi saya,hamba-Nya,kenikmatan yang...umph,tak bisa dibilang!\(^-^)/
Saya masih punyai sahabat-sahabat yang menyokong,ibu yang makin bertambah sayangnya,pensyarah-pensyarah yang ikhlas membantu ummah,hari-hari yang masih cerah.....semuanya harus saya syukuri.Terima kasih Allah,yang memberi saya ini semua.Pun begitu sudah tentu timbal-baliknya,harus saya operasikan dengan sebaiknya juga.Moga Allah terus sudi memberi kekuatan kepada saya dan anda menjadi 'manusia' Nya yang baik di 'sini'.
Moga anda sudi menunggu entri saya,InsyaAllah tak lama lagi akan saya masukkan.

Isnin, Februari 22, 2010

Naskhah 6 - Kembara Ilmu

Assalamualaikum untuk diri-diri yang selalu sabar menjalani hidup......
Sepanjang minggu lepas,saya banyak hadiri beberapa program sekitar kampus.Entah apa yang hendak dikongsikan kali ni,saya belum begitu pasti.Saya fikir,begini mungkin boleh.....

Jumaat,19/2/2010
Ceramah oleh Dr Ismawi Zen tentang 'Individu positif,Generasi positif'
Pertamanya saya hadiri kerana,umpan bintang yang akan dikreditkan dalam maklumat kokurikulum saya.Keduanya,saya pernah terbaca tentang penceramah ini dalam akhbar,tak lama dahulu ketika saya bercuti semester 1.Ceramahnya 'simple',tapi saya tertarik idea beliau dalam menyatakan orang yang benar-benar berjaya tidak hanya akan memberi faedah kepada dirinya sendiri sahaja.Bahkan memperbaiki masyarakat adalah matlamatnya dalam setiap perkara.Apabila dia ingin berjaya dalam pelajaran,dia tidak sahaja inginkannya kerana mahu menyenangkan hati ibu ayahnya,mahu bergaji besar apabila bekerja,malah kerana ingin menyumbangkan kepada masyarakatnya,atau kata dr,untuk ummahnya.

Sabtu,20/2/2010
Kem Fardhu 'Ain,CCAC
Hari esoknya,berpagi-pagi selepas subuh,saya pulang ke bilik dan bersiap untuk ke kem ini pula.Kali ini baru saya percaya,ikut kem-kem sebegini boleh 'ice breaking' dengan orang yang kita tak kenal.Anda bayangkan sehingga kem ini berjalan kami semua(kumpulan saya) telah hampir 3 bulan duduk di dalam 1 kelas.Tapi,ketika di kem inilah saya baru perasan muka-muka mereka,dan sebahagian nama mereka.Rupa-rupanya sifat mereka amat jauh berbeza dengan ekspresi mereka ketika di dalam kelas.Ada yang sangat ramah dan bersemangat ketika kami mengikuti eksplorasi.Dan bertambah tidak sia-sia kemesraan kami bila kami berjaya mendapatkan tempat kedua!Selepas semuanya selesai,sedikit ucapan dari ustaz Ismail yang saya ingat tentang betapa pentingnya untuk kita belajar dari alam.Katanya lagi Islam itu bermaksud interaksi,bagaimana kita perlu berinteraksi dengan tuhan,dengan diri kita juga dengan alam dalam memahami semua aturan yang dibuat oleh tuhan.Sebutnya lagi,dalam memaknakan atau memberi nilai kepada ilmu,kita mesti punyai kekuatan.Kekuatan yang dibahagi kemudiannya ialah:
-'divine strength'
-'virtue strength'
-'mental strength'
Apabila sahaja kita memiliki ilmu dengan panduan ini,ustaz kata kita akan menjadikan ilmu itu memberikan kebaikan kepada siapa sahaja.

Sabtu,20/2/2010
Petangnya,saya hadiri Kursus ICT untuk Usahawan oleh PKNS santak ke hari ahad keesokannya.Saya di'paksa' untuk memikirkan produk yang akan dilancarkan pada esok hari.Penat otak saya mencari idea,saya terfikir untuk menjual e-book untuk kanak-kanak.Nanti sahaja,bila saya sudah benar-benar siap,akan saya iklankan di blog ini untuk anda.

Begitulah,perjalanan saya mencari ilmu sepanjang beberapa hari yang lalu.Moga Allah selalu menetapkan hati saya dan anda untuk terus cinta mengulit ilmu di dunia kembara kita ini.

Sabtu, Februari 13, 2010

Naskhah 5 - ASEAN

"ASEAN LOGICS CONFERENCE"
PEMBENTANG 1:TAN SRI DR KHOO KAY KIM
PEMBENTANG 2:DR FARISH AHMAD NOOR
PEMBENTANG 3:ASSOC PROF DR KAMAR ONIAH KAMARUZZAMAN
PEMBENTANG 4:TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
PEMBENTANG 5:DR FILEMON A. URIARTE JR.
PEMBENTANG 6:PROF DR CHANDRA MUZAFFAR
PEMBENTANG 7:ENCIK FERIZ OMAR

"ASEAN NIGHT"
PENCERAMAH:ASSOC PROF DR ISHTIAQ HOSSAIN

Assalamualaikum w.b.t........
2 Feb 2010 lepas,saya hadiri ASEAN LOGICS(Asean Students Engaging Action for Local&Regional Contribution To Society) CONFERENCE.Pengalaman menghadiri konferens antarabangsa yang paling aneh saya rasa.Pengurusan yang tidak setara dengan 'pakaian' ahli jawatankuasanya.Bermula dari pemberian tiket,pendaftaran sehingga penyampaian maklumat-maklumat yang bagi saya penting untuk peserta mengetahuinya,semuanya nampak begitu mengelirukan dan kelam-kabut.Alhamdulillah,para pembentang dapat menghilangkan sedikit rasa aneh yang kami rasai hampir sepanjang hari tersebut.Begitupun,saya rasakan kelompongan di sana-sini.Sesuai dengan tajuknya,kebanyakan pembentang menyentuh peranan pelajar dalam menggerakkan ke arah mencapai matlamat masyarakat ASEAN 2015.Saya ikuti kebimbangan Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tentang masyarakat sekarang yang jauh dari sejarah.Hati saya tambah tak enak mengenangkan masyarakat sekarang yang makin jauh dari agama.Indahnya kalau asas penyatuan ASEAN ini menyentuh peranan Islam dalam menggerakkannya.Ada sedikit dari Dr Kamar Oniah.Saya tinggalkan konferens itu petangnya dengan beban untuk terus difikirkan dan digerakkan.Rentetan dari konferens itu,saya hadiri pula Malam ASEAN pada malam tadi.Penceramahnya ialah Dr Ishtiaq Hossein dari fakulti sains politik.Alhamdulillah,perbincangan malam tadi tidak meninggalkan persoalan ummah ke arah menuju ASEAN.Apapun pengalaman dan idea-idea yang saya dapati,saya harapkan dapat menambah keinginan saya untuk membantu ummah ini.
"Think Islam,
Feel Islam,
Act Islam."

Jumaat, Februari 12, 2010

Naskhah 4 - Terima Kasih Tuhan!

Assalamualaikum untuk diri-diri yang mencintai sahabatnya........
Waktu pagi-pagi begini,bersunyi-sunyi,selalu mengingatkan saya masa-masa yang telah lalu.Baiknya Allah memberi kita mengenali orang lain.Saya punya ramai kawan yang baik-baik.Selalu bersabar dengan perangai saya yang entah apa-apa.Kadang-kadang menjadi inspirasi dan semangat saya.Sejak dari saya pandai berkawan sampai ke hari ini,mereka telah banyak mewarnai dan menjadi sebahagian dari hidup saya.Terima kasih kepada semua yang pernah menjadi sahabat-sahabat saya.Saya pernah membaca 1 hadis,bunyi macam ni lebih kurang:
"Andai seseorang dari kamu mencintai sahabatnya kerana Allah,
maka hendaklah kamu memberitahunya"
-Abi Daud-
Jadi,kepada semua sahabat-sahabat saya,dulu sehingga kini,saya cintakan anda semua,sepenuh jiwa saya.Moga Allah selalu memberi kebaikan dalam hidup kita,dipanjangkan umur dalam keberkatan,dilimpahi rahmat dan kasih-sayang-Nya.Ya Allah,muliakan sahabat-sahabat saya dengan ilmu-Mu,jadikan mereka hamba-Mu yang selalu bertambah cintanya kepada-Mu apabila mendapat kurniaan,dan bersabar bila dilanda ujian.Moga kita mendapat sahabat seperti yang disebut dalam ayat ini:
teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia(31)
dan jadikanlah dia teman dalam urusanku,(32)
agar kami banyak bertasbih kepada-Mu(33)
dan banyak mengingat-Mu(34)
sesungguhnya Engkau Maha Melihat(keadaan) kami(35)
-Surah Thahaa-

Rabu, Februari 10, 2010

Naskhah 3 - Dulu

Assalamualaikum untuk diri-diri yang sukakan apa yang ada di dalam sebuah buku.....
Kecil-kecil dahulu,ketika saya dihadiahkan dengan buku,saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pencintanya.Tahun-tahun mendatang selepas itu,bila saya mula membaca karya Dr Usman Awang,Faisal Tehrani,Zaid Akhtar,dan buku-buku yang ada di rak-rak di rumah,(malah sebahagian karya ibu juga),saya mula mengenal banyak perkara yang asyik untuk difikirkan!Apatah lagi bila saya mulai menekuni pelajaran agama.Titik ini yang telah mengenalkan 'semangat' bahasa arab,indahnya menuturkan ayat-ayat al-Qur'an,dan 'manisnya' mempelajari syair-syair Ahmad Syauqi dan rima muziknya yang aneh kepada saya.Ketika ini,saya mula belajar mencintai bangsa saya kerana dekatnya ia dengan Islam(sepatutnya!)Budaya melayu adalah sesuatu yang asing tanpa Islam dalam catatan sejarah terdahulu.Bahkan dalam Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa Melayu itu adalah beragama Islam.Islam telah memuliakan bangsa saya dengan nilainya.Ketika saya menyatakan ini kepada seorang kawan dari Sri Lanka,dia tidak mahu kalah dengan bangsanya.Katanya,sejarah bangsanya juga dekat dengan Islam.Ketika itu,saya tepuk bahunya,dan saya katakan kepadanya,"Alhamdulillah,kita dilahirkan dalam bangsa kita,sebagai Islam"(^_^)
Dalam kesusasteraan arab misalnya,saya tidak sahaja mempelajari kelok-kelok bahasanya yang banyak dalam mengulit kebudayaan bangsa ini,tetapi lewat syair-syair Ahmad Syauqi dan penyair yang lain-lain,saya belajar tentang semangat dan perjuangan mereka.Moga kita dapat terus mencipta sejarah yang indah-indah dan berguna untuk generasi masa hadapan kita.Begitupun,jalan ini pasti panjang dan sukar untuk kita lalui!Terpulang kepada kita bagaimana untuk berpenat-lelah mengusahakannya.

Isnin, Februari 08, 2010

Naskhah 2 - Lajunya dia meninggalkan kita!

Assalamualaikum untuk diri-diri yang selalu memelihara imannya....
Hari-hari yang saya lalui,terus-terusan memecut,entah kerana masa yang ingin meninggalkan saya,atau saya yang terlalu lambat mengejar.Bertemu dengan sahabat sebelum ke itd,ada berita menyusup ke telinga(menyentap juga jiwa saya).Jadual untuk peperiksaan akhir semester telah keluar!Di tengah jiwa saya yang rusuh menunggu hari terakhir peperiksaan pertengahan semester(besok malam sebetulnya),berita ini datang menggugah.Begitulah dunia pelajar(hidup manusia juga),belajar dan ujian,dua jalan yang selalu kita perlu hadamkan setiap masa.Kata seseorang,setiap yang Allah tentukan bagi kita ada pelajarannya,jadi belajar dari setiap apa yang kita lalui....P/S:Kepada sesiapa yang pernah cakap seperti ayat tersebut,boleh senyum sekarang(^_^).......

Ahad, Februari 07, 2010

Naskhah 1 - Berjasa pada alam


Assalamualaikum untuk diri yang selalu di uji......
Seputar pagi tadi,kalut mengejar waktu sempat juga saya terfikir tentang isi terbaharu untuk blog ini.Kala kaki melangkah di sebelah papan tanda "Keep Off The Grass",saya mengutuk diri yang tidak menebal rasa cintanya terhadap alam.Mata memang menyorot pada sebaris ayat itu,tetapi saya teruskan langkahan kerana hambatan untuk tiba sebelum pensyarah ke bilik kuliyyah.Terlintas dalam benak saya,"Teruknya manusia ini(sayalah tu),matanya jenuh mengikut baris,tapi hatinya tidak ikut membaca".Hari-hari lain juga,bila saya kenang-kenang kembali,betapa tidak istiqomahnya saya bila 'buat-buat terlupa' membawa bekas sendiri untuk membungkus makanan,kala melihat isi beg yang macam sudah melayutkan bahu.Belum lagi bila terlupa untuk 'menjimatkan' jumlah kertas ketika meng'copy' yang sudah menjadi rutin harian.Kadangkala,bila saya melepasi bilik-bilik yang tidak dimatikan lampu dan pendingin hawanya,timbul rasa kesal dalam diri saya(cheeewah,macam tak pernah buat!).Manusia ini(saya lagilah tu) setiap harinya dia memohon pada Allah,selamat hidupnya di dunia dan akhirat.Tetapi dia menolak keselamatan itu dengan tangannya!Saat membuang sampah di mana sahaja tangannya merasa penat,menggunakan barangan elektrik tanpa had,mencabut plug tanpa mematikan suis,dan apa-apa sahajalah yang mencemarkan alam,kita jarang ada rasa bersalah.Malah kita teruja melakukannya setiap hari!Kita tak kisah melihat alam yang yang dipinjamkan oleh generasi hadapan dirosakkan oleh kita!Malangnya,sebelum sempat generasi ini 'merasai' kesannya,kita ini terlebih dahulu yang perlu menanggung azabnya.Cuaca yang tidak menentu,kesan langsung sinaran ultra-ungu dan entah apa-apa lagi yang saya sendiri tidak tahu bagaimana bentuknya.Mungkinkah Allah ciptakan alam ini hanya untuk dimusnahkan oleh kita yang jahil pengetahuan ini?Cintai alam ini,belajar dari setiap penciptaan-Nya,kita akan selamat di dunia dan akhirat,macam yang selalu kita minta-mintakan lepas solat:
"Wahai tuhan kami,
kurniakan bagi kami,
kebaikan di dunia dan
di akhirat"

Jumaat, Februari 05, 2010

Alhamdulillah

Alhamdulillah,lama dah berangan-angan nak ada blog sendiri.Sementelahan pulak orang-orang tersayang(eh,salah,orang-orang terdekat) telah mulai memegang tittle penulis blog.Teruja,terasa macam berlari-lari semangat saya,tatkala mengulang baca blog seperti tukjanggut,cahayaamalanku,myzaidakhtar,tehranifaisal,genta-rasa(sekadar menulis beberapa nama).Cayalah,korang memang inspirasi saya!cuma 1 persoalan yang selalu berulang-ulang ditayangkan dalam minda saya...Rajinkah saya untuk selalu meng"update" blog ni???Tolong angkat tangan,siapa-siapa boleh jawab?
(\^-^/)